Perniagaan Internet | Usahawan Internet | Peluang Perniagaan Internet
Tiada Salahnya Kerja
“9-To-5” Atau “Lebih Sikit Daripada Pokai”
oleh Zamri Nanyan
Apabila saya nampak usahawan internet yang melakukan bisnes internet
mereka secara sepenuh masa mempersendakan orang yang masih bekerja, saya
rasa amat marah sekali.
Komen seperti J-O-B (Kerja) diumpamakan seperti “Just Over Broke” (Lebih
Sikit Daripada Pokai) atau “Rat Race” (Larian Tikus Dalam Gelung yang
tak pernah selesai) membuatkan saya tersinggung. Semasa saya bekerja
dahulu dan juga membina bisnes internet pada masa yang sama, saya
telahpun didedahkan dengan ayat-ayat seperti ini untuk mempengaruhi saya
untuk berhenti bekerja dengan orang lain.
Pada saya, bukan semua kerja dengan orang itu sesuatu yang buruk.
Sebagai contoh, guru, doktor, posmen, pemandu bas, penebar roti canai,
penoreh getah dan sebagainya mempunyai peranan mereka sendiri. Kalau
tiada mereka yang masih mempunyai “Just Over Broke”, anda mungkin tidak
dapat menikmati roti canai yang sedap. Anda mungkin akan mati kerana
tidak diberikan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit anda. Kereta mewah
yang anda pandu mungkin tidak akan gunakan tayar getah yang berkualiti.
Anak anda mungkin tidak akan menjadi insan yang handal pada suatu masa
nanti disebabkan tiada guru yang berminat untuk mengajar.
Anda boleh lihat di sini bahawa inilah pengorbanan mereka kepada sosial.
Inilah kontribusi mereka kepada perkembangan ekonomi. Inilah juga sumber
pendapatan internet anda sekiranya produk yang anda jual dibeli oleh
mereka.
Sesetengah orang memang tidak mempunyai kemahiran untuk menjadi usahawan
dan tidak pun berminat untuk menjadi usahawan. Disebabkan faktor
tertentu, mungkin mereka lebih sesuai untuk menjadi pekerja seumur hidup
mereka.
Tugas saya dan anda sebagai usahawan internet ialah memberikan peluang
bahawa dengan mempunyai pekerjaan tetap, mereka masih lagi mampu membina
saluran pendapatan tambahan selain daripada gaji bulanan. Memang
pendapatan di internet boleh dijana secara separuh masa. Saya katakannya
begitu kerana saya juga pernah membina bisnes internet semasa masih
mempunyai pekerjaan tetap selama 7 tahun. Walaubagaimanapun, sekiranya
mereka tidak nampak peluang yang disediakan di hadapan mereka, tiada apa
yang boleh dilakukan lagi selain daripada berharap yang suatu hari nanti
minda mereka akan terbuka.
Jika anda masih lagi mempunyai pekerjaan, mempunyai cita-cita untuk
membina bisnes secara sepenuh masa sekarang, jangan tunggu lama-lama.
Mulakan langkah anda dan bina bisnes anda secara separuh masa.
Kelebihan membina bisnes internet atau bisnes konvensional semasa anda
mempunyai pekerjaan ialah anda mempunyai peluang untuk membina
“keuntungan” di samping mempunyai “gaji” tetap. Gaji anda boleh
menampung segala keperluan pembinaan bisnes anda tanpa anda perlu berasa
risau untuk mendapatkan modal pusingan dari bisnes anda sendiri.
Tidakkah ini sesuatu kelebihan yang anda perolehi berbanding mereka yang
terus terjun ke bidang perniagaan tanpa mempunyai plan jangka masa
panjang?
Simpan modal bulanan untuk anda membina bisnes anda setiap kali anda
dapat gaji. Jika 10% gaji anda adalah sesuatu yang anda mampu, anggaplah
10% pelaburan tersebut akan digunakan untuk anda belajar membina bisnes,
membeli peralatan bisnes dan seterusnya memperkembangkan bisnes anda.
Bila keuntungan anda bertambah, anda akan terkejut yang suatu hari nanti,
anda sudah tidak perlukan lagi modal simpanan 10% gaji anda tersebut
kerana keuntungan anda sudahpun melebihi 100% gaji yang anda perolehi.
Jadi, jangan berasa kecewa jika anda tidak dapat membina bisnes internet
sepenuh masa lagi. Sebaliknya, bersyukur kerana pekerjaan anda mampu
memberi anda peluang untuk berjinak-jinak dengan bisnes kegemaran anda.
Mengenai Penulis
Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam Perniagaan Internet sejak tahun
2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran
beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan
pada masa yang sama. Beliau berasa puas sekiranya dapat membantu lebih
ramai orang membongkar rahsia menjana pendapatan melalui Internet.
Lawati laman web beliau di http://TheFourWeeksToFreedom.com untuk
mengenali Zamri Nanyan dengan lebih dekat.